Jangan Di Lupekan...

Asal Usulnye..

Jika kita mampu membina sebuah "mesin masa" yang membolehkan kita pulang ke Kuala Kubu Bharu pada sebelum 1883, kita mungkin akan terperanjat kerana pada masa itu, Kuala Kubu Bharu bagaikan sebuah pekan di kawasan perairan, sedangkan kini ia(dinamakan Kuala Kubu Bharu) adalah sebuah pekan kecil yang menghijau dengan pokok-pokok dan permandangan darat yang berbukit-bukit. Kuala Kubu dahulu terletak di sebuah kawasan lembah berhampiran dengan Sungai Selangor, iaitu di pertemuan antara Sungai Rening dan Sungai Kubu. Nama Kuala Kubu berasal dari Sungai Kubu yang merupakan salah satu cabang Sungai Selangor. Menurut sesetengah pendapat, nama "Kubu" dipilih kerana di kawasan tersebut terdapat sebuah kubu pertahanan yang digunakan oleh angkatan perang Raja Mahdi dan Syed Mashyor melawan angkatan perang Tengku Kudin sewaktu perang yang berlaku di antara tahun 1868 hingga tahun 1873. Pada ketika itu, Kuala Kubu dan kawasan sekitarnya dikenali dengan aktiviti perlombongan bijih timah. Pada waktu itulah, Kuala Kubu menempuh zamannya yang gemilang dan merupakan bandar kedua terbesar di negeri Selangor. Kuala Kubu menjadi tumpuan para peniaga dan saudagar bijih yang datang dari merata tempat. Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan awam seperti hospital, pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, panggung wayang dan stesen keretapi. Selain itu, bandar ini juga menjadi tempat persinggahan para pelancong yang akan pergi ke Bukit Kutu. Bukit Kutu ialah tempat peranginan bagi pegawai-pegawai Inggeris dan pembesar-pembesar Melayu. Mereka perlu diusung di atas tandu untuk sampai ke tempat tersebut oleh beberapa orang kuli dan mereka akan dikenakan bayaran tertentu. Pada mulanya, pentadbiran daerah terletak di Kuala Kubu (lama) yang kini dikenali sebagai Ampang Pecah.

Akan tetapi, pekan yang terletak kira-kira 66 kilometer dari Kuala Lumpur kini lenyap dari muka bumi, sudah musnah dalam banjir besar yang berlaku pada tahun 1883 dan 1926. Menurut Mak Anjang, penduduk lama di sini, banjir tersebut terjadi kononnya berpunca daripada seorang pegawai Inggeris yang bernama Cecil Ranking. Beliau dikatakan telah menembak seekor buaya putih yang kononnya dianggap oleh penduduk kampung sebagai penunggu di situ. Buaya putih yang dipercayai sebagai "binatang suci" oleh penduduk sengaja dipelihara dalam kolam yang dibina dengan mengempang air Sungai Kubu. Tujuan empangan tersebut dibina adalah untuk memelihara ikan sebagai sumber rezeki penduduk tempatan. Ranking tidak menghiraukan nasihat penduduk kampung agar tidak menembak buaya putih tersebut. Setelah buaya putih tersebut dibunuh, hujan pun turun dengan lebatnya dan empangan yang dibina musnah. Akibatnya, banjir yang besar melanda Kuala Kubu dan kawasan-kawasan sekitarnya. Ranking pada masa itu, bertugas sebagai pegawai daerah dan majistret di situ, turut menjadi korban bersama banyak nyawa dan harta-benda lain.

No comments: